Ianya mengenai perkahwinan Hanzalah bin Abu Amir.
Pernikahan Hanzalah dengan sepupunya, Jamilah binti Ubay sudah siap diatur. Kebetulan pula, hari berlangsungnya perkahwinan Hanzalah bertembung dengan hari peperangan tentera Islam menentang musuh di Bukit Uhud. Iaitu lah Peperangan Uhud.
Hanzalah bin Abu Amir mendekati Rasulullah s.a.w., “Saya bercadang menangguhkan sahaja perkahwinan saya malam nanti.”
Pada masa itu, Nabi Muhammad
s.a.w. dan tentera-tentera Islam di kota Madinah sibuk membuat persiapan
akhir untuk berperang. “Tidak mengapa, teruskan sahaja perkahwinan
ini,” balas Rasulullah s.a.w..
“Tetapi saya sungguh berhajat
bagi menyertainya, ” Hanzalah bertegas. Rasulullah s.a.w. berkeras
supaya Hanzalah meneruskan perkahwinannya dan memberi cadangan supaya
Hanzalah menyusuli tentera Islam di Bukit Uhud pada keesokan hari,
setelah selesai upacara perkahwinan.
Hanzalah mendiamkan diri.
Ada benarnya saranan Nabi
Muhammad itu; perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan
bakal isterinya juga. Pada malam Jumaat yang hening, perkahwinan antara
Hanzalah bin Abu Amir dan Jamilah binti Ubay dilangsungkan secara
sederhana. Suasana yang hening dan sunyi itu tidak tenang hingga ke
pagi.
Kota Madinah tiba-tiba dikejutkn
dengan paluan gendang yang bertubi-tubi. Paluan gendang mengejutkan
para pejuang bersama laungan menyebarkan berita.
“Bersegeralah! Kita bersegera perangi musuh Allah.”
“Berkumpul segera! Keluarlah! Rebutlah syurga Allah!”
“Perang akan bermula!” Pukulan gendang dan laungan jihad itu mengejutkan pasangan pengantin yang baru sahaja dinikahkan.
Hanzalah bingkas dari tempat tidurnya, “Saya harus menyertai mereka.”
“Bukankah malam ini malam perkahwinan kita dan adakah Nabi Muhammad mengizinkan kanda berangkat esok?” Soal isterinya.
Hanzalah menjawab tegas, “Saya
bukanlah orang yang suka memberi alasan bagi merebut syurga Allah.”
Jamilah terdiam dan hanya mampu memerhatikan suaminya bersiap memakai
pakaian perang dan menyelitkan pedang ke pinggangnya.
Hanzalah menoleh ke arah
isterinya, “Janganlah bersedih, doakan pemergian saya semoga saya
beroleh kemenangan.” Suami isteri itu berpelukan dan bersalaman. Berat
hati Jamilah melepaskan lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya ke
medan perang.
Namun, Jamilah menguatkan
hatinya dan melepaskannya dengan penuh redha. “Saya mendoakan kanda
beroleh kemenangan.” Hanzalah melompat ke atas kudanya dan terus memecut
tanpa menoleh ke belakang.
Akhirnya, dia berjaya bergabung
dengan tentera Islam yang tiba lebih awal daripadanya. Di medan perang,
jumlah tentera musuh adalah seramai tiga ribu orang yang lengkap
bersenjata manakala jumlah tentera Islam hanyalah seramai seribu orang.
Perbezaan itu tidak menggugat sanggar wibawa tentera Islam termasuklah
Hanzalah. Dia menghayun pedangnya menebas leher-leher musuh yang
menghampiri dan apabila dia terpandang Abu Sufyan, panglima tentera
Quraisy, Hanzalah menerkam Abu Sufyan umpama singa lapar. Mereka
berlawan pedang dan bergelut; akhirnya Abu Sufyan sungkur ke tanah.
Tatkala Hanzalah mengangkat
pedang mahu menebas leher Abu Sufyan, dengan kuat panglima tentera
Quraisy itu menjerit menarik perhatian tentera Quraisy. Tentera-tentera
Quraisy menyerbu Hanzalah dan Hanzalah tewas, rebah ke bumi.
Sebaik sahaja perang tamat,
tentera Islam yang tercedera diberikan rawatan. Mayat-mayat yang
bergelimpangan dikenalpasti dan nama-nama mereka, tujuh puluh orang
kesemuanya, dicatat. Sedang Nabi Muhammad yang tercedera dan patah
beberapa batang giginya diberi rawatan, beliau mengatakan sesuatu yang
menyentak kalbu, “Saya terlihat antara langit dan bumi, para malaikat
memandikan mayat Hanzalah dengan air daripada awan yang diisikan ke
dalam bekas perak.”
Abu Said Saidi, antara tentera
yang berada dekat dengan Nabi Muhammad bingkas mencari jenazah Hanzalah.
“Benar kata-kata Nabi Muhammad. Rambutnya masih basah bekas
dimandikan!” Abu Said Saidi menyaksikan ketenangan wajah Hanzalah
walaupun beliau cedera parah di seluruh badannya. Rambutnya basah dan
titisan air mengalir di hujung rambutnya sedang ketika itu matahari
terik memancar.
MasyaAllah.
sumber: hasrulhassan.com
sumber: hasrulhassan.com
No comments:
Post a Comment