
Ben Hamid, 48, hanya mampu merenung ke arah laut yang tenang. Beliau yang kini tinggal di satu khemah sementara kini tertanya-tanya apa yang berlaku di rumahnya di Kampung Tanduo, Sabah.
Pada malam 11 Februari yang lalu, Ben, seperti nelayan lain di kampungnya melepaskan lelah dan tidur selepas bekerja keras seharian.

"Ada yang berpakaian seragam tentera. Ada yang tidak. Saya melihat mereka membawa M16 dan ada yang memegang parang. Mereka mungkin datang dari laut," katanya.
Beliau berkata, ada penduduk kampung yang nampak mereka memasuki kampung tersebut pada jam 2 pagi.
Menjelang pagi, kira-kira 50 orang penceroboh sudahpun tiba di kampung itu walaupun pemimpin mereka masih belum tiba.

Penceroboh yang kemudiannya menghampiri mereka dan mendakwa sebagai Tentera Diraja Sulu telah cuba meyakinkan penduduk tempatan bahawa mereka tidak membahayakan.
"Mereka kata, mereka berada di sini untuk menuntut hak-hak mereka dan hak sultan mereka," kata Ben.
Tambahnya lagi, penduduk kampung mula panik dengan perkembangan mendadak itu dan ramai di antara mereka memutuskan untuk meninggalkan kampung itu menjelang jam 9 pagi.

Maka, bermulalah penghijrahan beramai-ramai. Bagi mereka yang mempunyai kenderaan, mereka terus keluar dari kampung manakala selebihnya berjalan kaki ke kampung berdekatan, Tanjung Labian - sejauh kira-kira lima kilometer.
sumber: Malaysiakini
No comments:
Post a Comment