Oleh Amanda Leonie
Begitu banyak yang ditulis di sejarah mengenai orang-orang penting atau tamadun tamadun yang penting. Bagaimana putera dan raja berjaya menawan sebuah negara, dan bagaimana kaya dan berkuasanya pemimpin sebuah negara.
Tetapi sejarah sebenar manusia iaitu sejarah penderitaan jarang sekali ditulis. Bagaimana pula dengan penderitaan seharian orang yang ditindas ketika seorang raja memulakan pemerintahannya. Atau pekerja yang tewas ketika pembinaan bangunan mencakar langit.
Orang yang miskin secara praktikalnya tidak ada jalan keluar daripada kemiskinan mereka. Kesengsaraan mereka boleh dilihat dalam bentuk kekecewaan, rasa bersalah dan kebimbangan. Mereka rasa kecewa kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan diterima sebagai golongan orang-orang yang harus dihormati. Apa yang mereka inginkan hanyalah harga diri, tapi inilah yang dinafikan mereka.
Dan orang yang tidak menganalisis dengan mendalam sering berkata mereka miskin kerana mereka malas. Ternyata terdapat banyak kontradiksi dengan pernyataan itu kerana sebenarnya terdapat satu sistem berstruktur yang membuatkan orang menjadi miskin, tertindas dan dipinggirkan.
Kemiskinan terdapat banyak muka, ia boleh dikenali sebagai miskin secara ekonomi, miskin secara budaya yang melibatkan Orang Asal dan golongan minoriti yang didiskriminasikan, penindasan terhadap wanita, dan juga penindasan terhadap bumi dimana ia diserang dengan tidak adil dan dieksploitasi secara sistematik.
Kemiskinan bukan sesuatu yang semulajadi tapi ia dihasilkan. Itulah sebabnya kenapa golongan miskin dieksploitasi dan semakin miskin. Mereka tidak dianggap sebagai manusia, kerana harus mencapai objektif proses eksploitasi yang dikenali sebagai ekonomi, politik, ekologi dan budaya. Kemiskinan ialah hasil daripada struktur sosial yang opresif dimana mereka dimiskinkan oleh orang lain yang mendapat faedah daripada sistem ekonomi yang tidak adil.
Maka struktur ini dengan sistematiknya akan mengeksploitasi dan pinggirkan orang dan menjadikan mereka miskin. Itulah mengapa ada ekspresi kaya semakin kaya, miskin semakin miskin.
Pernah sekali saya bertanyakan kepada seorang kawan bagaimana zaman kanak- kanaknya.
Dia berkongsi kepada saya, kehidupan zaman kanak-kanaknya amat susah kerana dia yang mempunyai ramai adik-beradik dan terpaksa berkongsi makanan yang sangat terhad, jika tidak ada beras mereka akan makan ubi kayu dengan garam sahaja.
Dan saya sangat terkejut kerana kawan saya yang lebih muda dari saya itu masih lagi mengalami pengalaman seperti itu pada zaman yang dianggap moden ini.
Pada tahun 2010, saya dan beberapa teman pelajar pernah membuat lawatan ke Belaga, Sarawak. Disana saya berpeluang untuk hidup bersama Orang Asal Kenyah dan Kayan yang ditindas sebab pembinaan empangan Bakun. Disebabkan pembinaan mega itu 10,000 orang harus dipindahkan daripada tanah mereka. Dan 10,000 orang yang dahulunya kaya, meriah dan boleh hidup sendiri kini menjadi miskin dan hidup atas sedekah pemerintah.
Mereka kehilangan budaya, identiti, hidup komuniti yang bersatu, dan makanan yang berlimpah-limpah. Yang wanita dahulunya turun ke ladang kini tiada lagi tempat untuk bertanam dan ini membuatkan mereka menjadi suri rumah sepenuh masa duduk dirumah tidak buat apa-apa, atau ada yang bekerja di kilang, atau tukang sapu di pusat membeli-belah.
Yang suami terpaksa pergi jauh ke ‘outstation’ untuk mencari kerja kerana tekanan untuk mencari duit. Yang anak dibiarkan, kurang diberi perhatian. Yang dahulunya senang ke sekolah dengan menaiki perahu, kini ditambah beban untuk membayar petrol RM50 satu bulan dan ini menyebabkan anak berhenti sekolah. Anak-anak sudah tidak tahu bagaimana memegang parang atau nama pokok tumbuhan dan tambah lagi tidak bersekolah, ketiadaaan hutan untuk mereka bermain menyebabkan kebosanan yang merbahaya dimana alkohol dan pergaduhan menjadi cerita utama.
Keluarga berpecah, ada yang menjadi penjenayah kerana kesempitan wang, tekanan hidup dan mereka terperangkap dalam kehidupan miskin secara bergenerasi dan ini berputar tiada jalan penghujung. Jika dilihat dalam- dalam, dosa- dosa kecil ini disebabkan oleh satu dosa yang lebih besar, ‘a structural sin’ atau sebuah dosa yang berstruktur. Dan sistem begini boleh membunuh, ini mengingatkan saya tentang kisah yang berlaku pada 2007 di Sabah dimana seorang budak bernama Donni berumur 11 tahun membunuh diri kerana ingin meringankan beban keluarganya.
sumber: projekdialog.com
No comments:
Post a Comment