"Serangkap perkataan sudah cukup untuk mereka yang mahu mengambil iktibar, tetapi seribu perkataan tidak cukup bagi mereka yang keras hati"

(UNTUK KESAN BACKGROUND MUSIC TERBAIK, SILA SET KAN VOLUME 20-25 SAHAJA, TQ)

Friday, 2 March 2012

LUAHAN HATI SEORANG ANAK YANG TERLUKA




Assalamualaikum,

 dan salam sejahtera daripada saya untuk semua, dengan sentiasa memohon kepada Ilahi agar dilimpah kurnia rahmatNya supaya hidup ini sentiasa di jalan yang benar dan juga memohon kepada illahi agar sentiasa diberikan rasa keredhaan dengan apa yang terjadi/berlaku.

Pada sekalian sekali lagi ingin saya mencoret rasa hati yang terluka yang telah dipendamkan disepanjang menjalani kehidupan ini. Rasa kesedihan, kepiluan dan kekecewaan yang amat sangat dan terkini ia membara lagi. Tapi membaranya benar benar mencabar keimanan. Biarpun usia telahpun melepasi 40an tetapi rasa kesedihan dan kekecewaan itu tetap disimpan dengan kemas dan berharap ia berkubur tanpa nisan. Tetapi tanpa diduga ia kembali membara dan mencabar keimanan.


                                    Terlantar di hospital


Ayah jatuh sakit lagi, kali ini agak lama terlantar di hospital. Jika sebelumnya hanya 1-2 hari dan tidak memerlukan pengawasan yang rapi, tetapi kali ini ayah benar-benar tidak mampu mengurus dirinya, untuk mengangkat tangan pun tidak mampu apa lagi lah untuk berjalan. Kami adik beradik dan ibu bekerjasama dalam menjaga ayah walaupun masing masing telah berkeluarga dan bekerja. Kami tetapkan giliran untuk memastikan ayah berada dalam keadaan selesa.

Tanpa diduga pada giliran adik, adik tidak dapat menjaganya. Ayah ditinggal lama 3-4 jam tanpa ada sesiapa berada disebelahnya. Adik telah pun memaklumkan pada ayah dan jururawat bertugas untuk keluar sebentar bagi urusan yang tidak dapat dielakkan. Kerana hal yang sedikit ayah buat perangai. Ayah meragam tak mahu makan ubat, tak mau makan dan minum, dan minta balik rumah, sedangkan keadaan tidak mengizinkan ayah keluar kerana ayah memerlukan banyak rawatan bagi melawan penyakitnya.

Ayah menjerit-jerit sehingga mengganggu lain lain pesakit. Ayah minta dicabut terus nyawanya. Kami adik beradik benar benar cemas dengan perangai dan kelakuan ayah. Kami mohon ayah bersabar dan banyak ingatkan Allah. Perasaan ibu juga tercalar kerana ayah dengan begitu lancang sekali berkata perkataan kesat pada ibu. Ibu benar benar malu dan bersabar dengan sikap ayah. Ayah benar benar menguji kesabaran ibu dan kami adik beradik. Walau pun kami memahami ayah tengah sakit, tapi tidak sepatutnya ayah melukakan hati ibu.

Demi menjaga hati ibu, saya memujuk ibu dengan pelbagai cara. Sehingga dengan tidak sengajanya saya menceritakan dan meluahkan perasaan kecewa saya selama ini terhadap ayah. Ibu benar benar terkejut dengan tindakan ayah dan bertanya kenapa selama ini saya tidak memaklumkan kepadanya. Saya maklumkan kepada pada ibu pada ketika itu saya tidak tahu hendak mengadu kepada sesiapa kerana dari umur 6 tahun saya dijaga oleh nenek dan hinggalah ketika saya habis sekolah baru kembali tinggal dengan ibu dan ayah. Pada ketika itu saya hanya tahu menangis sendirian apabila perasaan saya tersinggung.

Demi tuhan saya tidak berniat untuk berdendam dengan ayah kerana selama ini saya menyimpan rasa kecewa dan sedih dan berharap rasa sedih dan kecewa itu berkubur tanpa nisan dan juga berharap tidak berlaku dalam kehidupan saya dan anak anak. Oleh kerana saya telah menceritakan habis habisan apa yang pendamkan selama ini pada ibu, saya sudi untuk meluahkan perasaan yang saya pendam selama ini.

Saya dijaga oleh nenek dan datuk pada umur 6 tahun hingga umur 19 tahun. Saya tidak tahu kenapa saya seorang tidak diambil oleh ayah untuk dijaga olehnya sedangkan kakak dan 3 adik saya tinggal dengannya. Pada ketika itu saya tidak menyimpan apa apa perasaan benci pada ayah dan saya tidak sabar untuk menunggu tibanya hari Sabtu dan Ahad kerana saya akan bersama dengan ibu, kakak dan adik adik. Saya pergi dengan menaiki bas dan pulang pun dengan menaiki bas. Kekadang saya tidak mahu pulang semula ke rumah nenek kerana saya belum puas untuk bermain dan bergembira dengan ibu, kakak dan adik adik. Ibu pernah meminta pada ayah supaya saya tidak dipisahkan daripadanya dan juga anak anak yang lain. Tapi ayah tetap berkeras. Sehingga kini saya tidak memahaminya kenapa saya dipisahkan.

Saya bersekolah hanya sehingga tingkatan lima (SPM) sahaja. Keputusan SPM saya benar benar mengecewakan ayah. Ayah tidak sepatutnya menunjukkan perasaan marah dan ketidakpuasannya pada saya. Saya berharap ayah memahami saya kenapa saya jadi begitu. Adakah ayah tahu perasaan saya selama ini. Adakah ayah ambil berat pelajaran saya selama ini. Adakah ayah tahu berapa yang telah dibelanjakan untuk saya terus hidup. Adakah ayah tahu saya makan atau tidak selama ini. Adakah ayah tahu perasaan saya yang ditinggal keseorangan kerana nenek dan datuk juga mempunyai tanggungjawabnya terhadap keluarganya.
Ayah tidak berhenti setakat itu sahaja, saya tidak dibenarkan untuk menduduki sekali lagi peperiksaan SPM, sedangkan semua urusan dan pembayaran telah diuruskan oleh nenek dan datuk. Ayah mengoyak kertas (borang) permohonan untuk menduduki SPM depan mata saya. Saya seperti terkena histeria kerana semangat saya berkobar kobar untuk menunjukkan padanya bahawa anak ayah yang seorang ini juga mampu untuk mendabik dada demi ayahnya. Ayah masih tidak berputus asa, ayah paksa saya bekerja walau ibu menghalangnya kerana mahukan saya belajar lagi.

Saya ikut kata ayah dan cuba mencari pekerjaan. Dengan berbekalkan SPM pangkat 3 saya dapat juga bekerja di pejabat dengan gaji yang cukup untuk saya seorang dan kadang kadang meminjam juga pada ibu pada akhir bulan. Saya cuba berusaha untuk belajar di sekolah persendirian (kelas malam) tapi kerana perbelanjaannya besar, saya hanya mampu bertahan 3 bulan sahaja.

Saya jalani kehidupan seadanya tanpa ada perasaan benci pada ayah sehinggalah ketika saya mahu berumahtangga. Ayah tidak bersetuju dengan niat saya untuk berumahtangga. Ayah menentang saya habis habisan. Ibu hanya mampu menangis dan berdoa agar ayah berubah sikap. Dengan pertolongan pakcik (abang ayah) saya diijab kabul juga dalam majlis yang sederhana. Wang hantaran saya habis dibolot oleh ayah. Perbelanjaan perkahwinan saya ditanggung oleh pakcik (adik mak). Saya amat malu dengan keluarga suami kerana sikap ayah.

Seminggu perkahwinan saya, ayah mengugut supaya wang gaji bulanan saya diserahkan semuanya pada saya. Saya hanya dapat mengikut arahan ayah selama 2 bulan sahaja. Selepas itu saya dan suami berpindah ke rumah sewa. Ketika itu saya rasa amat tenang, sementelah saya mengandung anak yang pertama. Suami tidak tahu apa yang saya lalui selama ini. Saya pendamkan dan simpan perasaan saya untuk kebaikan semua orang.

Suami pernah berhasrat supaya saya berhenti kerja apabila saya sudah melahirkan anak nanti. Ayah tidak setuju dan sekali lagi ayah menentang saya dan meminta saya berpisah (bercerai) dengan suami. Saya benar benar terkejut kerana ayah tergamak untuk meroboh masjid yang baru saya bina. Kemanakah perginya rasa kasih dan sayang seorang ayah terhadap anaknya. Pada suamilah tempat saya menumpang kasih setelah saya kehilangan kasih sayang yang ayah cipta sendiri untuk anak anaknya.

Kakak dan adik adik juga tidak menyukai tindakan ayah. Kalau tidak kerana ibu yang cukup bersabar selama ini, kami adik beradik sudah lama lari dari rumah dan tidak sudi untuk menumpang kasih pada ayah yang tidak sudi dan tidak ikhlas membesarkan anak anaknya. Kami seiring dituduh membawa beban padanya. Air mata ibu sudah kering untuk meratapi itu semua.

Saya bertawakal dengan kehendak ayah. Pada suami saya pujuk supaya membenarkan saya bekerja selagi saya mampu. Suami tidak memaksa walaupun ada ketikanya suami masih menyuruh saya berhenti kerja, kerana kasihan melihat saya yang sering penat dan keletihan untuk menguruskan rumahtangga dan juga berkerjaya.
Saya menghitung lagi kesilapan yang ayah lakukan pada kami adik beradik. Ketika saya kesempitan wang saya meminjam wang pada ibu tetapi ayah tidak membenarkannya malahan mengutuk saya yang telah muflis selepas berkahwin. Saya redha kerana saya sudah tahu memang itu yang ayah akan pulangkan paku buah kerasnya pada saya.

Ya Allah, apa yang sebenarnya telah terjadi. Terlalu banyak kesilapan yang ayah lakukan sehingga kami adik beradik sudah tidak larat untuk berurusan/bersemuka dengannya. Saya tidak mahu menceritakan lagi apa kesilapan yang membuatkan perasaan marah, sedih, kecewa dan terluka itu membara kembali kerana sekarang ayah terlantar di atas katil hospital dan tidak bermaya.

Kini seorang ayah yang sudah tidak bermaya terlantar dihospital. Tiada lagi bayangan wajah bengis, wajah benci dan pelbagai wajah yang sungguh anak anaknya tidak menyukainya. Yang ada hanyalah wajah sayu yang memohon belas ehsan daripada anak anaknya dan juga dari seorang isteri (ibu) yang tidak dihargainya pada satu ketika dahulu.

Ya Alllah Ya Tuhanku ampunilah dosa dosa kami – ibu, kakak dan adik adik yang masih lagi merasa hati apabila ayah dalam keadaan demikian masih menyakitkan hati kami semua. Tiadakah keinsafan yang ayah rasakan. Ya Allah, kami bermohon padamu berilah keinsafan pada ayah. Kami sudah tidak mampu berhadapan dengan perangai ayah dan tetapkanlah iman kami semua supaya masih sudi untuk memaafkan dan menjaganya.

Perasaan kecewa sentiasa menghantui saya, apalagi ketika ada pergaduhan kecil dengan suami yang membuatkan saya terfikir adakah kerana tiada restu yang ikhlas dari ayah membuatkan rumahtangga saya sedemikian. Saya sering membisu apabila bercerita mengenai ayah kerana saya seolah olah tidak mempunyai perasaan seorang anak kepada bapa. Perasaan saya telah lama mati, cuma tiada rasa benci dan marah pada ayah. Sukar saya nak gambarkan perasaan saya sekarang. Umpamanya apabila saya mendengar ayah terlantar dihospital saya hanya merasakan sama seperti menziarahi lain lain pesakit. Apabila ayah minta dimandikan, saya hanya angkat ayah dengan kudrat yang ada dan ibu tolongkan jiruskannya. Saya tidak menyuap makanan dan minuman kemulut ayah sedangkan ibu bertungkus lumus menjaga ayah. Saya hanya tahu menghantar ibu ulang alik ke hospital dan menyediakan keperluannya.

Sehingga kini tidak terlintas dihati saya untuk menyuap sendiri makanan/minuman ke mulut ayah. Jika ada orang lain berada di sisi ayah saya hanya menyiapkannya dan menyuruh orang itu menyuapkan ke mulut ayah. Saya pura pura sibuk dengan hal lain, walau pun saya tahu saya sepatutnya berbuat demikian. Saya tidak tahu kenapa. Adakah kerana masih ada perasaan takut atau adakah kerana saya memang sudah tidak menyayangi ayah sendiri. Saya berpura pura sibuk menjaga ayah, walhal selebihnya ibu dan adik adik lebih menunjukkan rasa kasih dan sayang pada ayah, saya berada disisinya hanya melihat sahaja, tidak mengurut kaki ayah, tidak bercakap dengan ayah dan juga menyuapkannya makanan/minuman. Saya tidak tahu kenapa saya masih kaku bila berhadapan dengan ayah.

Demi tuhan, saya tidak menyimpan dendam atau pun membenci ayah. Ini saya buktikan kerana saya telah sediakan sebuah banglo indah untuk ibu dan ayah. 

 

Saya mahu melihat ibu dan ayah gembira dengan rumah baru itu. Namun segalanya berubah dengan sekelip mata apabila ayah terlantar sakit dihospital. Perasaan takut kehilangan ayah mula saya rasai ketika saya telah dapat menyakinkan ayah bahawa anaknya ini mampu menyediakan apa yang dia mahukan selama ini. Saya mahu ayah menyayangi saya dan adik adik, begitu juga dengan ibu yang telah menderita dan bersabar dengan karenah ayah.

Saya berdoa agar ayah kembali sembuh. Moga Allah ampunkan dosa dosa ayah. Pesan saya pada semua dan juga pada anak anak jangan jadi anak yang derhaka, walau pun hati terluka, jaga kata kata ketika berbicara dengan ibu bapa. Jangan lukakan hatinya dengan kata kata dan juga jaga tingkah laku kita.Kerana saya sendiri mengalaminya, seawal umur 6 tahun saya tidak pernah melawan kata kata ayah walaupun kehendak saya sentiasa dihalang termasuklah cita cita saya untuk ke menara gading gagal dan kini bekerja dengan pendapatan seadanya, namun tuhan itu Maha Pengasih dan Penyayang.  Saya dilimpahi juga kemewahan dari suami dan turut dirasai oleh ayah dan ibu sekarang.

(sumber: facebook)

No comments:

Post a Comment