"Serangkap perkataan sudah cukup untuk mereka yang mahu mengambil iktibar, tetapi seribu perkataan tidak cukup bagi mereka yang keras hati"

(UNTUK KESAN BACKGROUND MUSIC TERBAIK, SILA SET KAN VOLUME 20-25 SAHAJA, TQ)

Sunday, 5 August 2012

PUASA BURUH BINAAN...



"Ramadan bukan penghalang kepada buruh binaan mencari rezeki untuk menyara keluarga di kampung halaman. Namun, rata-rata dalam kalangan mereka mengakui bahawa Ramadan menggamit kerinduan yang mendalam terhadap keluarga yang ditinggalkan."







BANGUNAN lapan tingkat yang terletak di Jalan Lima melalui Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur yang masih dalam pembinaan itu mungkin tidak menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang. Lori yang keluar masuk ke kawasan pembinaan itu adakalanya menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan utama.

Pembinaan bangunan yang melibatkan sebahagian besar tenaga buruh dari negara jiran, Indonesia itu tetap diteruskan meskipun pada bulan Ramadan.

Tanpa mengira keadaan cuaca yang adakalanya hujan, panas atau berjerebu, buruh-buruh kontrak itu memerah keringat bagi memastikan bangunan tersebut siap seperti yang dijadualkan.

Bersama jurufoto Djohan Shahrin Shah, kami dibawa meninjau ke tapak pembinaan tersebut oleh Juruukur merangkap Penyelia Kanan Projek, Johawaki Sdn. Bhd., Amran Jamil.

Di tapak tersebut, buruh-buruh tersebut sibuk dengan tugas masing-masing. Ada yang melakukan kerja-kerja perparitan, membancuh simen, mengangkat kayu dan besi serta menyimen.

Apa yang pasti, kerja-kerja yang dilakukan oleh buruh-buruh binaan ini menggunakan kudrat tulang empat kerat.

Rupa-rupanya kaum Hawa juga terlibat dalam kerja-kerja pembinaan yang mengkhusus kepada kerja-kerja pembersihan.

Basran Saie, 42, yang mengambil upah sebagai buruh binaan sejak 17 tahun lalu di Malaysia menjelaskan, dia tidak pernah meninggalkan Rukun Islam ketiga itu tanpa sebab.

Meskipun agak letih pada lima hari pertama menjalani ibadah puasa, namun dia akur semua itu satu proses untuk menyesuaikan diri.

Bapa kepada dua cahaya mata yang berasal dari Sulawesi, Indonesia itu menyifatkan berpuasa sambil bekerja di tapak pembinaan bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi dirinya.

"Kami akan berkumpul beramai-ramai untuk berbuka puasa. Ada yang masak sendiri tetapi apabila tiba waktu berbuka puasa dan sahur, semua akan berkumpul dan berkongsi makanan.

"Tahun ini teringin nak solat tarawih berjemaah kalau berkesempatan. Jika tidak, solat tarawih sendirian sahaja," ujar Basran yang pulang ke kampung halaman dua tahun sekali bagi melepaskan kerinduan yang bersarang di hati.

Tewas dengan emosi

TANGGUNGJAWAB mencari rezeki buat keluarga di kampung halaman menjadi penguat semangat buruh binaan bekerja pada bulan Ramadan.


Ketika ditanya perihal keluarga di kampung, lelaki ini mengakui bahawa dia adakalanya tewas dengan emosi sendiri.

Hari pertama Ramadan menjentik emosi duka Basran lalu membawa kenangan bersahur bersama keluarga di kampung halamannya.

"Ya, saya akui terasa sedih, tetapi hanya sabar sahaja menjadi benteng. Saya pujuk hati. Saya datang ke sini kerana mencari rezeki halal untuk keluarga. Itu yang saya tanamkan dalam diri," katanya yang sering menitiskan air mata tatkala terkenang keluarga.

Walaupun berpuasa, kerja-kerja tetap diteruskan seperti biasa. Bulan puasa bukan tiket untuk bersenang-lenang kerana bagi mereka setiap saat sangat berharga.

Mereka dibayar upah mengikut hari bekerja. Penat berpuasa diketepikan bagi menunaikan tanggungjawab menggalas kerja yang diamanahkan kerana ia juga satu ibadah.

Sama seperti Basran, Abdul Halim Jazuli, 31, tidak menjadikan kerja-kerja berat yang menjadi rutin seorang buruh binaan sebagai alasan mengabaikan tanggungjawab selaku seorang Muslim.

Bapa kepada Zainiyatusyarifah, 6, ini sudah tiga kali menyambut Ramadan di Malaysia sejak keluar merantau tiga tahun lalu.

SEMENTARA menunggu waktu berbuka, buruh-buruh ini kelihatan berbual santai di hadapan rumah kongsi. Ada yang mengisi masa dengan memetik gitar melayan perasaan.


"Bohonglah kalau saya katakan bekerja sebagai buruh binaan ketika bulan Ramadan tidak penat, lapar dan dahaga.

"Namun, kekuatan untuk mencari rezeki mengatasi segala kerumitan yang dihadapi," katanya yang berasal dari Bangkalan, Indonesia.

Walaupun hanya pulang dua tahun sekali ke pangkuan keluarga, Halim akan menelefon keluarga dua hari sekali bagi melepaskan kerinduan terhadap anaknya. Bagaikan memahami bapa mereka di perantauan, anak Halim juga tidak pernah putus bertanya bilakah dia akan pulang ke kampung halaman.

"Pilu juga mendengarnya. Saya pujuk dan kata kepada anak, ayah di sini mencari rezeki bagi melunaskan kewajipan sebagai ketua keluarga," ujarnya yang bertindak sebagai imam tarawih di tapak pembinaan tersebut.

Meluangkan masa lebih dua jam melihat rutin seharian buruh-buruh binaan di sebahagian blok pejabat seluas 69,517.26 meter persegi itu sudah cukup meletihkan apatah lagi buruh-buruh yang berhempas-pulas bekerja.



JUADAH ringkas dikongsi bersama ketika berbuka puasa.



Jika pada hari biasa, waktu tengah hari para pekerja akan mengisi perut setelah separuh hari memerah kudrat, tetapi hari itu senarionya berbeza.

Kebanyakan mereka duduk berehat melepaskan lelah seketika sambil berbual kosong dan ada pula baring melelapkan mata sementara menunggu usai waktu rehat.

"Membuat konkrit merupakan kerja yang paling berat. Orang lain tidur, kita pula bekerja, kadang-kadang berbuka pun di lokasi kerja.

"Tiada perbezaan bekerja pada hari biasa dan bulan puasa kerana sudah terbiasa. Ini semua dilakukan atas tanggungjawab. Haus, lapar atau penat semuanya ujian," kata Yazid Halim, 56.

Bekerja sebagai buruh binaan sejak tahun 1984, Yazid memberitahu dia lebih mengutamakan puasa. Dia tidak sanggup mengorbankan puasa semata-mata kerana kerja, lebih-lebih lagi Ramadan tiba setahun sekali sahaja.

Berbanding rakan-rakan sekerja yang lain, Yazid sedikit bertuah kerana keluarganya menetap di Subang, Selangor. Sungguhpun begitu, kerana tugas dia biasanya berbuka puasa di tapak pembinaan manakala bersahur di rumah bersama anak-anak.



WALAUPUN penat kerana seharian bekerja memerah keringat, tanggungjawab melaksanakan solat tarawih tidak dilupakan.



Selaku orang lama yang bekerja sebagai buruh binaan, Yazid tidak jemu menasihatkan rakan-rakannya yang lain.

"Ada juga kalangan mereka yang tidak berpuasa. Biasanya saya akan nasihatkan mereka supaya berpuasa walaupun setengah hari.

"Kalau betul-betul tak larat, rehatlah sebentar kemudian sambung kerja semula. Jika niat puasa betul-betul ikhlas, insya-Allah kita akan diberikan kekuatan oleh-Nya," jelasnya yang mempunyai lima orang anak berusia antara enam hingga 26 tahun.

Memasak juadah berbuka

Pesannya, jangan sesekali ada niat untuk tidak berpuasa kerana alasan kerja. Menyentuh mengenai persiapan berbuka puasa, Yazid memberitahu, lazimnya ada orang yang akan membantu memasak juadah berbuka.

"Buruh-buruh di sini akan membuat pembayaran setengah bulan sekali. Tiada halangan bagi mereka yang mahu memasak sendiri, tetapi biasanya dah penat bekerja, mereka tak larat nak memasak," katanya.

Di satu sudut, kelihatan Halim mengupas bawang sambil dibantu rakannya menyiang sayur untuk lauk berbuka.

Sementara menunggu waktu berbuka puasa, ada antara buruh binaan bersidai di depan rumah kongsi masing-masing sambil berbual kosong dan melayan perasaan.

Bak kata Yazid, rumah-rumah kongsi berukuran 2.5 meter x 2.5 meter yang diperbuat daripada papan lapis itu dihuni antara tiga hingga empat orang. Rumah kongsi itu sudah boleh dianggap mewah untuk mereka melelapkan mata.

Beberapa minit sebelum menunggu azan Maghrib berkumandang, Halim dan penghuni rumah kongsi yang lain mengambil tempat di atas pangkin.

Dimulakan dengan bacaan doa oleh Halim, masing-masing menjamah hidangan yang serba ringkas berserta air sirap buat penghilang dahaga.

Selesai berbuka, masing-masing bersiap-siap untuk bersolat. Begitulah rutin seharian mereka sepanjang Ramadan ini.

"Kita sanggup? Kalau berkeadaan seperti mereka?"


sumber: kosmo!Online



No comments:

Post a Comment